Pengajian Malaysia - Parlimen

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Keanggotaan Dewan Negara dan Dewan Rakyat dalam Parlimen 
  3. Proses Penggubalan Undang – undang 
  4. Penutup
  5. Rujukan



Huraikan proses penggubalan undang-undang di parlimen dan keanggotaan Dewan  Rakyat dan Dewan Negara dalam Parlimen.

Pengenalan
Konsep parlimen secara umum ialah jarak masa sesuatu kerajaan terbentuk mulai tarikh pilihanraya hingga ke suatu pilihanraya seterusnya.Manakala konsep parlimen secara khusus pula ialah parlimen merupakan badan perundangan tertinggi yang diberi kuasa menggubal dan meluluskan undang – undang pada peringkat persekutuan. Parlimen akan bersidang apabila dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong. Persidangan Parlimen tidak boleh ditangguhkan enam bulan berselang diantara mesyuarat akhir bagi satu penggal dengan mesyuarat pertama bagi penggal yang akan datang. Parlimen akan kekal untuk selama lima tahun dari tarikh mesyuaratnya yang pertama. Apabila genap lima tahun, Parlimen akan bubar dengan sendirinya melainkan sebelum cukup tempoh ia dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Setelah Parlimen dibubarkan, pilihanraya umum akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran bagi semenanjung dan 90 hari bagi Sabah dan Sarawak. Parlimen hendaklah dipanggil bersidang tidak lewat dari 120 hari selepas tarikh pembubarannya. Semua mesyuarat Parlimen disusun dalam satu kalendar yang dinamakan Takwin Parlimen. Kalendar ini dibahagi kepada lima bahagian dan setiap penggal mengambil masa selama satu tahun. Parlimen tidak bersidang di sepanjang penggal tetapi mengadakan mesyuarat sebanyak tiga atau empat kali dalam satu penggal. Setiap satu mesyuarat mengambil masa selama dua minggu bagi Dewan Rakyat, manakala Dewan Negara pula memakan masa selama satu minggu, kecuali mesyuarat belanjawan yang mengambil masa selama lima atau enam minggu. Parlimen Malaysia mengandungi tiga komponen utama iaitu Yang di-Pertuan Agong(YDPA), Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Keanggotaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam Parlimen

Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agong adalah komponen pertama dan merupakan komponen paling utama dalam Parlimen Malaysia. Baginda tidak menghadiri diri dalam Persidangan Parlimen. Yang di-Pertuan Agong hanya bertitah di pembukaan rasmi penggal Parlimen. Baginda memiliki kuasa memanggil, membatal dan membubarkan Parlimen. Dalam Melaksanakan kuasa-kuasa ini, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri.

Dewan Negara
Dewan Negara adalah komponen kedua dalam Parlimen Malaysia. Ia juga merupakan Majlis Tertinggi atau Senat. Fungsi utama Dewan Negara ialah membahaskan rang undang – undang dengan lebih halus dan terperinci. Disamping itu, Dewan Negara membincangkan perkara – perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 45, Dewan Negara hendaklah dianggotai 70 orang ahli. Keanggotaan ini hendaklah terdiri 26 orang ahli yang dipilih dari 13 negeri iaitu dua orang wakil dari setiap negeri dan dicalonkan oleh Dewan Undangan Negeri daripada bukan kalangan ahli Dewan.Manakala 44 orang ahli lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong(YDPA) termasuk dua dari wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu dari Wilayah Persekutuan Putrajaya dan satu dari Wilayah Persekutuan Labuan. Mereka yang dilantik biasanya merupakan orang yang telah membuat jasa yang cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai tahap kepujian dalam lapangan professional, perundangan, perusahan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum minoriti atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang asli.
Seseorang ahli Dewan Negara akan memegang jawatan selama tiga tahun iaitu satu penggal dan tidak terbatal keahlian dengan pembubaran Parlimen. Tempoh maksimum jawatan ahli Dewan Negara berkhidmat bagi seseorang ahli adalah selama enam tahun iaitu dua penggal. Ahli Dewan Negara digelar Senator. Kelayakkan bagi seseorang ahli Dewan Negara mestilah warganegara Malaysia. Mereka mesti berumur 30 tahun keatas dan dicalon oleh Dewan Undangan Negeri atau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Seseorang ahli itu boleh berhenti daripada menjadi ahli dengan menulis surat kepada Yang diPertua Dewan Negara. Sekiranya seseorang ahli tidak hadir dalam setiap mesyuarat Dewan Negara maka Dewan mengistiharkan tempat ahli tersebut sebagai kosong. Jika ahli tidak hadir dalam tempoh tiga bulan selepas dipilih maka terhentilah beliau daripada menjadi ahli Dewan. Jika berlaku kekosongan, ia hendaklah diisi mengikut syarat-syarat yang terkandung dalam Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan. Tiap ahli Dewan Negara akan mengangkat sumpah sebelum mengambil tempatnya di Dewan Negara.
Bagi mengendalikan perjalanan persidangan atau Mesyuarat Dewan Negara, seorang Yang diPertua atau Timbalan Yang diPertua dipilih dari kalangan ahli-ahli Dewan itu sendiri. Tugas utama Yang diPertua adalah mempengerusikan sidang Dewan, menjaga tatatertib Dewan dan peraturan dipatuhi, sebagai jurucakap Dewan dan memastikan bilangan mencukupi untuk sidang dijalankan sekurang–kurangnya 10 orang. Jika seseorang ahli Dewan telah terpilih maka beliau hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Negeri. Jika Yang diPertua atau Timbalan Yang diPertua tidak hadir dalam persidangan Dewan Negara maka tugas Yang diPertua boleh dilaksanakan oleh seorang ahli Dewan lain yang dipilih mengikut peraturan Dewan Negara. Dewan Negara juga mempunyai Setiausaha yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengikut Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan,Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan. Namun begitu, Dewan Negara mempunyai kuasa untuk menangguhkan sesuatu rang undang- undang sebagaimana yang tercatat dibawah perlembagaan tersebut.


Dewan Rakyat
Dewan Rakyat adalah komponen ketiga dalam Parlimen Malaysia. Ia merupakan satu majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Kesemua ahli Dewan Rakyat dipilih menerusi sistem pilihanraya pelbagai parti. Setiap ahli mewakili satu kawasan pilihanraya iaitu kawasan pilihanraya Dewan Rakyat atau kawasan Parlimen. Kawasan  ini ditentukan melalui pensempadanan kawasan pilihanraya yang dijalankan setiap lapan tahun sekali setelah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Pensempadanan semula kawasan ini hanya boleh diluluskan di Dewan Rakyat dengan mendapat sokongan daripada sekurang – kurang dua pertiga ahli – ahli dewan. Ahli Dewan Rakyat tidak boleh mewakili dua kawasan Dewan Rakyat atau menjadi ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Rakyat dalam tempoh waktu yang sama, atau menjadi ahli Dewan Negara mewakili dua negeri atau menjadi ahli Dewan Negara secara perlantikan dan pilihan dalam tempoh waktu yang sama.
Mengikut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat hendaklah dianggotai oleh 209 ahli daripada 13 buah negeri dalam Persekutuan, 11 ahli daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli daripada Wilayah Persekuan Labuan dan seorang ahli Wilayah Persekutuan Putrajaya. Setiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan Malaysia adalah layak menjadi ahli Dewan Rakyat. Mereka hendaklah berumur tidak kurang daripada 21 tahun, hendaklah waras fikiran, bukan seorang muflis, tidak memegang sebarang jawatan berpendapatan, tidak mempunyai rekod jenayah dan telah menyerahkan apa – apa penyata perbelanjaan pilihanraya sebelum ini jika pernah bertanding. Melainkan seseorang itu hilang kelayakkan menjadi ahli menurut perlembagaan itu atau mengikut mana-mana undang-undang yang dibuat mengikut Perkara 48 Perlembagaan tersebut. Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah dihadapan Yang di – Pertua Dewan Rakyat. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas – tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan. Tempoh ahli Dewan Rakyat atau ahli Parlimen akan tamat apabila Parlimen dibubar. Tetapi, mereka boleh berhenti dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. Seseorang ahli Dewan Rakyat dianggap berhenti menjadi ahli jika beliau hilang kelayakan mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.Seseorang ahli mana-mana Majlis Parlimen boleh berhenti daripada menjadi ahli dengan mengutus surat yang ditandatangani oleh ahli itu sendiri kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. Jika seseorang ahli Parlimen tidak hadir pada setiap persidangan Majlis selama tempoh enam bulan dengan tiada kebenaran Majlis maka Majlis hendaklah mengistaharkan kerusinya kosong. Seseorang ahli mana-mana Majlis Parlimen yang telah diberi kebenaran tidak hadir dalam persidangan Majlis Parlimen yang ianya menjadi ahli maka ahli itu tidak boleh selama tempoh kebenaran itu menyertai dengan apa juga cara,hal -ehwal dan urusan Majlis berkenaan.Setiap ahli Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah taat setia kepada negara ini dan juga perlembagaannya sebelum mengambil tempatnya di Parlimen. Sebelum mengangkat sumpah, seseorang ahli Dewan Rakyat layak mengambil bahagian dalam pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dipilih sama ada dikalangan ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun seorang lain yang layak dipilih. Tugas bagi Yang Dipertua adalah mempengerusikan Dewan Rakyat, menjadi jurucakap Dewan, memastikan peraturan dan tatatertib dewan dipatuhi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya jika mempunyai kekosongan kerusi dan memastikan sidang Dewan cukup untuk bersidang iaitu sekurang-kurangnya 26 orang ahli Dewan tidak termasuk beliau. Jika Yang Dipertua itu dipilih daripada orang yang bukan ahli Dewan Rakyat maka beliau dianggap sebagai ahli tambahan Dewan. Namun demikian, beliau tidak layak dilantik menjadi Perdana Menteri, Menteri-menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen. Beliau juga tidak boleh mengundi sebarang perbahasan di dalam Dewan Rakyat kecuali jika undi penentu diperlukan sekiranya undi menyokong dan membantah sama banyak. Seorang Timbalan Yang Dipertua juga perlu dilantik dan beliau perlu dipilih dikalangan ahli-ahli Dewan Rakyat itu sendiri. Jika kedua-dua Yang Diprtua dan Timbalan Yang Dipertua tidak hadir dalam persidangan Dewan Rakyat maka tugas-tugas mereka boleh dijalankan oleh seorang ahli lain yang dipilih mengikut Peraturan Dewan Rakyat. Seperti juga Dewan Negara,Dewan Rakyat juga mempunyai seorang Setiausaha yang dilantik oleh Yang di- Pertuan Agong. Setiausaha Dewan Rakyat menguruskan kelicinan pentadbiran Dewan. Beliau memegang jawatan sehingga usia 60 tahun. Hanya penubuhan tribunal boleh memecat Setiausaha Dewan Rakyat.

Proses Penggubalan undang-undang di Parlimen

Menjalankan Kuasa Perundangan
Kedua-dua Majlis Parlimen memainkan peranan penting dalam proses perundangan. Parlimen membuat undang-undang mengikut peraturan tertentu yang telah ditetapkan dalam  Bab 5 Acara Perundangan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang dibuat melalui beberapa peringkat tertentu. Jika seseorang Menteri bercadang hendak membentangkan rang undang-undang di Parlimen maka beliau hendaklah merangka dasar-dasar yang berkaitan dengan rang undang-undang tersebut dan kemudian mengadakan perundingan dengan Jabatan Peguam Negara, Perbendaharaan dan Jabatan-jabatan Kerajaan yang berkaitan. Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab menyediakan draf rang undang-undang tersebut. Apabila draf rang undang-undang diluluskan oleh Jemaah Menteri maka ia akan dibentangkan oleh Menteri berkenaan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen. Rang undang-undang tersebut akan melalui empat peringkat sebelum ia diluluskan iaitu Bacaan Kali Pertama, Bacaan Kali Kedua, Peringkat Jawatankuasa dan Bacaan Kali Ketiga. Kebanyakkan undang – undang hanya memerlukan sokongan majority mudah untuk diluluskan.Namun , dalam beberapa keadaan, majority dua pertiga adalah diperlukan seperti dalam hal – hal berkaitan meminda perlembagaan.Setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat rang undang – undang itu kemudiannya dihantar ke Dewan Negara dan tiga bacaan yang diterangkan  sebelum ini akan dilakukan sekali lagi.



Ø  Bacaan Kali Pertama
Bacaan Kali Pertama adalah untuk memperkenalkan rang undang – undang tersebut. Di peringkat ini ,Menteri akan mengemukakan rang undang-undang yang berkenaan kepada semua ahli Dewan Rakyat.Setiausaha Dewan Rakyat akan membacakan tajuk ringkas rang undang-undang tersebut. Selepas itu, Menteri akan mengumumkan masa untuk Bacaan Kali Kedua dan Bacaan Kali Ketiga kepada ahli Dewan Rakyat.

Ø  Bacaan Kali Kedua
Bacaan Kali Kedua adalah untuk dibincang dan dibahas oleh ahli – ahli yang berhormat. Peringkat ini merupakan yang sangat penting dalam proses membuat undang-undang. Diperingkat ini, rang undang-undang akan dibahaskan secara terperinci oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. Perbahasan ini akan ditumpukan kepada aspek kebaikan ,keburukan, kesan dan pengaruh undang-undang berkenaan kepada rakyat dan negara. Menteri bertanggungjawab untuk menerangkan dan menjelaskan ke atas sebarang pertanyaan yang diajukan oleh Wakil-Wakil Rakyat mengenai rang undang-undang yang diperbahaskan. Suara majority 2/3 Dewan perlu untuk meluluskan rang undang-undang ini. Selepas peringkat ini, rang undang-undang berkenaan akan dibincang di Peringkat Jawatankuasa.

Ø  Peringkat Jawatankuasa
Fasal-fasal yang terkandung dalam rang undang-undang akan disemak secara terperinci mengikut urutan dan susunannya oleh satu jawatankuasa.Dalam peringkat ini,jawatankuasa berkuasa untuk membuat pindaan ke atas rang undang-undang jika didapati rang undang-undang perlu dipinda.

Ø  Bacaan Kali Ketiga
Rang undang-undang yang telah disemak oleh Jawatankuasa akan dibaca semula oleh Menteri yang berkenaan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan Dewan tersebut. Rang undang-undang akan dibentangkan di Dewan Negara selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat. Rang undang-undang ini kemudiannya akan dibahas oleh Dewan Negara. Rang undang-undang akan dibaca untuk kali pertama, kedua dan ketiga di Dewan Negara kemudian diluluskan. Rang undang-undang akan dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas ia diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk persetujuan Baginda. Rang undang-undang secara rasminya menjadi undang-undang selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Semua undang-undang perlu diwartakan kepada masyarakat umum sebelum berkuatkuasa dalam Persekutuan.Undang-undang akan dikuatkuasakan apabila diwartakan. Namun begitu, tarikh penguatkuasaannya ditentukan oleh undang-undang itu sendiri. Proses yang dilaksanakan ini membuktikan bahawa sesuatu rang undang-undang perlu dibahas secara terperinci supaya ia dapat dikuatkuasakan dengan adil dan saksama.

Penutup
Parlimen mempunyai tiga komponen utama iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Yang di – Pertuan Agong (YDPA) merupakan komponen tertinggi di dalam Parlimen dikuti oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Yang di – Pertuan Agong ( YDPA) mempunyai kuasa merasmi, memanggil dan membubarkan Parlimen mengikut budi bicara Baginda. Selain itu , Baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik ahli Dewan. Dewan Negara dan Dewan Rakyat boleh dianggotai dengan memenuhi syarat dan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya syarat dan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi maka seseorang itu akan hilang kelayakkan menjadi ahli menurut Perlembagaan itu atau mengikut mana – mana undang – undang yang dibuat mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tersebut. Kedua – dua Majlis Parlimen memainkan peranan penting dalam proses perundangan. Parlimen membuat undang – undang mengikut peraturan tertentu yang telah ditetap dalam Bab 5 Acara Perundangan Perlembagaan Persekutuan. Sesebuah undang – undang yang ingin dicadangkan mestilah disediakan rangkanya terlebih dahulu menteri berkenaan dan dibantu oleh Jabatan Peguam Negara. Rangka tersebut dikenali sebagai rang undang – undang dan dibahas oleh ahli – ahli Dewan Rakyat kemudian Dewan Negara.Rang undang – undang ini perlu melalui beberapa peringkat dalam persidangan Dewan iaitu Bacaan Kali Pertama untuk memperkenalkan rang undang – undang tersebut, Bacaan Kali Kedua untuk membincangkan dan membahas rang undang – undang dari segi dasar oleh ahli – ahli Yang Berhormat, Peringkat Jawatankuasa untuk membincangkan secara mendalam dan Bacaan Kali Ketiga untuk membahaskan semula rang undang – undang tersebut dengan pindaan terperinci oleh Jawatankuasa Dewan. Sekiranya diluluskan, Dewan Negara akan mengulang kembali proses – proses seperti di Dewan Rakyat. Kemudian rang undang –undang tersebut akan dihantar kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenaan Baginda dan rang tersebut akan diwartakan dalam Warta Kerajaan untuk ditandatangani kerajaan dan dikuatkuasakan. Kesimpulannya, sesebuah rang undang – undang itu perlu melalui banyak peringkat sebelum diluluskan dan dikuatkuasaka.

Rujukan
  1. Buku Kenegaraan Malaysia, Teks Pengajian Tinggi Fajar Bakti, Ruslan Zainudin, Mohd Mahadee Ismail dan Zaini Othman.
Sumber: Pelajar yang mengambil subjek pengajian Malaysia ini.